Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan adalah cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir, ditubuhkan bagi memantapkan lagi kemajuan dan pergerakkan organisasi dakwah serta kebajikan umat Islam di Negeri Perak. Penubuhan ini bermula dengan tertubuhnya “Kumpulan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan” pada 28 November 2009 bersamaan 11 Zulhijjah 1430 di Masjid Sultan Azlan Shah Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh dan telah disempurnakan oleh ke bawah Duli DYTM Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

 

 

Kumpulan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan ini dinaikkan taraf menjadi sebuah pertubuhan iaitu sebagai Pertubuhan Dakwah Islamiah Perak Darul Ridzuan. Pertubuhan ini efektif pada 6 Januari 2011 dan didaftarkan sebagai suatu pertubuhan di bawah syeksyen 7 Akta Pertubuhan 1966. Penubuhan ini mendapat restu dan sokongan penuh daripada Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Harussani Bin Haji Zakaria Mufti Negeri Perak bersama Y.Bhg. Dato’ Wan Muhammad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Perasmian pejabat operasi telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir, di alamat B-1-13 & B-2-13 Greentown Suria, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh. Pada 1 Disember 2012, pertubuhan ini telah berpindah ke No. 4 & 6, Lengkok Meru Permai 2, Halaman Meru Permai, Bandar Meru Raya, 30020 Ipoh, Perak.

 

Pertubuhan Dakwah Islamiah Perak Darul Ridzuan telah dinaiktaraf kepada Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan atau singkatannya KADIR. Kelulusan adalah di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258). Berkuatkuasa pada 19 Jun 2012. Dengan penubuhan ini menjadi penyuntik semangat dan “Penanda Aras” kepada pegawai-pegawai KADIR untuk terus bergerak melaksanakan aktivit-aktiviti berhubung pembangunan insan sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan syiar Islam, pendakwahan dan kebajikan. Penyampaian kepada perlaksanaan akan dilipat ganda melalui kaedah dan pendekatan yang lebih profesional, dinamik, progresif dan cemerlang.